BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

2010-01-16

Di sekitar kehangatan Pilihan Raya Kampus

Kementerian tidak halang penuntut kemuka memorandum: Khaled

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengajian Tinggi tidak menghalang mana-mana pelajar untuk mengemukakan memorandum bagaimanapun penyerahan itu perlu mematuhi undang-undang dan bersesuaian dengan masa, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Saya galakkan pelajar hantar memorandum tapi biarlah masa yang sesuai dan mestilah patuhi undang-undang. Pokoknya sekarang ialah musim pilihan raya kampus, apa sahaja cara digunakan untuk mendapatkan publisiti," katanya.

Beliau yakin semua pelajar bersikap matang dan memahami proses berkenaan.

Mohamed Khaled bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pecah tanah Pusat Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) fasa II, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu mengulas penahanan dua penuntut dan seorang wartawan sebuah akhbar pembangkang yang menyertai perhimpunan membantah pelaksanaan undi elektronik (e-undi) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di depan Kementerian Pengajian Tinggi, di Putrajaya, semalam.

Laporan menyebut ketiga-tiga mereka ditahan setelah enggan mematuhi arahan polis supaya bersurai dan difahamkan perhimpunan itu antara lain bertujuan menyerahkan memorandum kepada menteri berkenaan.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata hubungan antara ahli akademik dan industri perlu terus ditingkatkan bagi menghasilkan lebih banyak produk berinovatif di negara ini.

Jalinan (kerjasama) antara akademia dan industri katanya, adalah hubungan simbiotik yang bukan sahaja mendatangkan keuntungan menang-menang kepada kedua belah pihak tetapi mampu mendatangkan hasil berganda.

"Mana-mana institusi pengajian tinggi tidak dapat menjauhkan diri daripada aktiviti komersial yang rata-rata dipelopori oleh pihak industri.

"Industri memerlukan universiti untuk menghasilkan produk berinovatif, manakala akademia dalam universiti pula memerlukan dana untuk membantu mereka," katanya sambil memuji usaha penubuhan pusat berkenaan.

Pusat Teknologi UTM-MTDC Fasa II dibangunkan di tapak seluas 0.4 hektar yang mampu menempatkan 25 syarikat berasaskan teknologi khususnya sains hayat.

Ia bakal menempatkan Syarikat Terbitan Universiti yang akan mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) UTM di bawah program UTM-MTDC Simbiosis. - Bernama

 ** CABUT DAN TAMPAL DARI :berita harian online.




lain-lain ........

Hancurnya sebuah pilihanraya kampus
Abdul Rahman Abdullah


Sebelum ini, gerakan mahasiswa yang progresif yang diketuai oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) - yang menggabungkan hampir kebanyakan badan mahasiswa yang berusaha untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di kampus - telah menghantar memorandum menggesa supaya pilihanraya kampus diadakan secara adil dan bersih.

Dari awal lagi, Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMB) melihat perkembangan yang cukup menyedihkan hasil daripada memorandum yang dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Biro Pengaduan Awam dan akhir sekali kepada menteri yang mengetuai Kaukus Parlimen Bahagian Hak Asasi, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz.

Adakah kita akan melihat satu sinar kembalinya suasana pilihanraya kampus yang bersih dan adil? Jawapannya sudah tentu sinar yang cukup lemah, hanya berlegar pada masa berkempen yang dipanjangkan dan bayaran pendaftaran calon yang dikurangkan. Itupun masih ada yang meneruskan tradisi menindas mahasiswa seperti di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menaikkan bayaran pendaftaran calon kepada RM100.

Dengan itu, kita boleh membuat satu kesimpulan jelas bahawa menteri dan wakil rakyat kita yang berada di Parlimen, kebanyakannya telah gagal membela nasib masyarakat yang tertindas. Mahasiswa juga adalah anggota masyarakat yang turut mengundi mereka. Sikap lepas tangan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed jelas menonjol sikap sambil lewa beliau dalam memastikan kebajikan mahasiswanya di universiti dititikberatkan.

Kalau macam inilah sikap beliau sebagai seorang menteri, sudah terang dan nyatalah bahawa kita tidak boleh lagi memberi beliau undi dalam pilihanraya umum akan datang. Cuba kita bayangkan universiti yang tidak sebesar manapun tidak dapat dijaga, inikan pula suatu kawasan parlimen.

Mahasiswa benar benar kecewa dan hilang percaya kepada beliau. Di awal pelantikannya sebagai menteri pengajian tinggi, mahasiswa menyangka nasib mereka akan terbela. Naman lama kelamaan, sikapnya yang berat sebelah kepada kumpulan promahasiswa semakin ketara. Dasar ini turut diperturunkan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar di semua universiti.

Justeru, kita tidak perlu hairan apabila pilihanraya kampus (PRK) bagi tahun ini, yang diharapkan bersih dan adil, telah bertukar menjadi pilihanraya yang paling kotor, berat sebelah dan paling korup. Semua Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar yang merupakan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) PRK, telah memanipulasikan kedudukan mereka untuk memenangkan kumpulan Aspirasi Umno.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Universiti Malaya (UM). Telah termaktub dalam undang-undang pilihanraya kampus sebelum ini bahawa setiap calon perlu mempunyai baki dua semester pengajian. Namun, apabila kumpulan Aspirasi Umno di UM ketandusan calon, maka Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM telah menyatakan bahawa 16 calon Aspirasi Umno yang mempunyai baki satu semester pengajian, boleh bertanding. Ini merupakan satu pencabulan terbesar terhadap undang undang pilihanraya yang dibentuk oleh SPR UM yang diketuai oleh beliau sendiri.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula tidak kurang hebatnya pencabulan terhadap sistem pilihanraya kampus. Kumpulan Aspirasi Umno telah menjalankan kempen pilihanraya secara ganas dan samseng - meniru gaya Umno dalam pilihanraya kecil di Ijok sebelum ini. Tindakan ganas dan samseng ini direstui oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar selaku ketua SPR dan juga merangkap ketua jentera Aspirasi sendiri.

Tekanan yan hebat dan berterusan dikenakan terhadap kumpulan promahasiswa, sehingga satu persatu calon promahasiswa, dibatalkan pencalonan mereka daripada bertanding dalam PRK kali ini. SPR dan pengetua kolej di UPM memainkan peranan sebagai pemberi tekanan kepada calon promahasiswa untuk menarik diri.

Sementara Di Universiti Islam Antarabangsa pula menyaksikan satu lagi pencabulan terhadap sistem pilihanraya kampus apabila penamaan calon dibuka semula. Hal ini berlaku ekoran usaha untuk mengelak kumpulan Aspirasi Umno kalah awal. Keadaan yang sama turut berlaku Universiti Kebangsaan Malaysia, di samping sekatan untuk berkempen dengan bebas, kumpulan promahasiswa diancam dengan kumpulan Pemuda Umno yang diimport oleh Aspirasi untuk menganggu kemenangan promahasiswa.

Pembongkaran ini hanya sedikit jika hendak dibandingkan dengan penyelewangan dan penindasan terhadap kumpulan promahasiswa di IPTA. Namun, pembongkaran yang sedikit ini telah memberi gambaran yang jelas terhadap matinya demokrasi kampus sebelum hari pembuangan undi. Demokrasi kampus telah dihancurkan oleh tangan tangan yang telah diberi amanah untuk membawa kecemerlangan di universiti.

Perkara yang lebih malang lagi ialah faktor utama penindasan dan penyelewangan ini berlaku kerana hanya semata mata untuk menjaga survival politik parti yang memerintah. Mahasiswa cukup sedih dan kesal dengan situasi ini, seolah olah tidak ada lagi keadilan di Malaysia dan tiada lagi harapan untuk orang yang hendak menegakkan kebenaran.

Mahasiswa mengeluh dimanakah lagi dapat dicari pertolongan ajaib untuk membersihkan kembali pilihanraya kampus yan sudah mati dan hancur. Hancur luluh hati mahasiswa mengenangkan penindasan ini. Bilakah saat sinar keadilan dan kebenaran kembali bersinar di kampus.

Penulis ialah Timbalan Pengerusi, Badan Bertindak Mahasiswa Negara.


** CABUT DAN TAMPAL DARI :Malaysiakini.com




2010-01-12

99 langkah menuju kesempurnaan iman

 **************************************************************************
1.Bersyukur apabila mendapat nikmat
2. Sabar apabila mendapat kesulitan
3. Tawakal apabila mempunyai rencana/program
4. Ikhlas dalam segala amal perbuatan
5. Jangan membiarkan hati larut dalam kesedihan
6. Jangan menyesal atas sesuatu kegagalan
7. Jangan putus asa dalam menghadapi kesulitan
8. Jangan gelisah dengan kelebihan orang
9. Jangan hasad dan iri atas kejayaan orang
10. Jangan sombong jikalau memperolehi kejayaan

11. Jangan tamak kepada harta
12. Jangan terlalu bercita-cita akan sesuatu kedudukan
13. Jangan hancur karena kezaliman
14. Jangan goyah kerana fitnah
15. Jangan mempunyai keinginan terlalu tinggi yang melebihi kemampuan diri
16. Jangan campuri harta dengan harta yang haram
17. Jangan sakiti ayah dan ibu
18. Jangan usir orang yang meminta-minta
19. Jangan sakiti anak yatim
20. Jauhkan diri dari dosa-dosa yang besar

21. Jangan membiasakan diri melakukan dosa-dosa kecil
22. Banyak berkunjung ke rumah Allah (masjid)
23. Lakukan solat dengan ikhlas dan khusyuk
24. Lakukan solat fardhu di awal waktu, berjemaah di masjid
25. Biasakan diri dengan solat malam
26. Perbanyakkan zikir dan doa kepada Allah
27. Lakukan puasa wajib dan puasa sunat
28. Sayangi dan santuni fakir miskin
29. Jangan ada rasa takut kecuali hanya kepada Allah
30. Jangan marah berlebih-lebihan

31. Cintailah seseorang dengan tidak berlebih-lebihan dan kerana Allah jua
32. Bersatulah kerana Allah dan berpisahlah kerana Allah
33. Berlatihlah mengkonsentrasikan fikiran
34. Penuhi janji apabila telah diikrarkan dan mintalah maaf apabila kerana sesuatu sebab tidak dapat dipenuhi
35. Jangan mempunyai musuh, kecuali dengan iblis/syaitan
36. Jangan percaya ramalan manusia
37. Jangan terlampau takut miskin
38. Hormatilah setiap orang
39. Jangan terlampau takut kepada manusia
40. Jangan sombong, takabbur dan besar kepala

41. Berlakulah adil dalam segala urusan
42. Biasakan istighfar dan taubat kepada Allah
44. Hiasi rumah dengan bacaan Al-Quran
45. Perbanyakkan silaturrahim
46. Tutup aurat sesuai dengan petunjuk Islam
47. Bicaralah secukupnya
48. Beristeri/bersuami kalau sudah siap segala-galanya
49. Hargai waktu, disiplinkan diri mengurus waktu dan manfaatkan waktu
50. Biasakan hidup bersih, tertib dan teratur

51. Jauhkan diri dari penyakit-penyakit batin
52. Sediakan waktu untuk santai dengan keluarga
53. Makanlah secukupnya, tidak berkurangan dan tidak berlebihan
54. Hormatilah kepada guru dan ulama
55. Sering-sering berselawat kepada nabi
56. Cintai keluarga Nabi saw
57. Jangan terlalu banyak hutang
58. Jangan terlampau mudah berjanji
59. Selalu ingat akan saat kematian dan sedar bahawa kehidupan dunia adalah kehidupan sementara
60. Jauhkan diri dari perbuatan-perbuatan yang tidak bermanfaat seperti membicarakan hal yang tidak memberi faedah.

61. Bergaullah dengan orang-orang soleh
62. Sering bangun di penghujung malam, berdoa dan beristighfar
63. Lakukan ibadah haji dan umrah apabila sudah mampu
64. Maafkan orang lain yang berbuat salah kepada kita
65. Jangan dendam dan jangan ada keinginan membalas kejahatan dengan kejahatan lagi
66. Jangan membenci seseorang karena fahaman dan pendiriannya
67. Jangan benci kepada orang yang membenci kita
68. Berlatih untuk berterus terang dalam menentukan sesuatu pilihan
69. Ringankan beban orang lain dan tolonglah mereka yang memperolehi kesulitan
70. Jangan melukakan hati orang lain

71. Jangan membiasakan diri berkata dusta
72. Berlakulah adil, walaupun kita sendiri akan mendapatkan kerugian
73. Jagalah amanah dengan penuh tanggung jawab
74. Laksanakan segala tugas dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan
75. Hormati orang lain yang lebih tua dari kita
76. Jangan membuka aib orang lain
77. Lihatlah orang yang lebih miskin daripada kita, lihat pula orang yang lebih berprestasi dari kita
78. Ambillah pelajaran dari pengalaman orang-orang arif dan bijaksana
79. Sediakan waktu untuk merenung apa-apa yang sudah dilakukan
80. Jangan sedih kerana miskin dan jangan sombong kerana kaya

81. Jadilah manusia yang selalu memberi manfaat untuk agama, bangsa dan negara
82. Kenali kekurangan diri dan kenali pula kelebihan orang lain
83. Jangan membuat orang lain menderita dan sengsara
84. Berkatalah yang baik-baik atau tidak berkata apa-apa
85. Hargai prestasi dan pemberian orang
86. Jangan habiskan waktu untuk sekedar hiburan dan kesenangan
87. Akrablah dengan setiap orang, walaupun yang bersangkutan tidak menyenangkan
88. Sediakan waktu untuk berolahraga yang sesuai dengan norma-norma agama dan kondisi diri kita
89. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan fizikal atau mental kita menjadi terganggu
90. Ikutilah nasihat orang-orang yang arif dan bijaksana

91. Pandai-pandailah untuk melupakan kesalahan orang dan pandai-pandailah untuk melupakan jasa kita
92. Jangan berbuat sesuatu yang menyebabkan orang lain terganggu dan jangan berkata sesuatu yang dapat menyebabkan orang lain terhina
93. Jangan cepat percaya kepada berita jelek yang menyangkut teman kita sebelum dipastikan kebenarannya
94. Jangan menunda-nunda pelaksanaan tugas dan kewajiban
95. Sambutlah huluran tangan setiap orang dengan penuh keakraban dan keramahan dan tidak berlebihan
96. Jangan memaksa diri untuk melakukan sesuatu yang diluar kemampuan diri
97. Waspadalah akan setiap ujian, cubaan, godaan dan tentangan. Jangan lari dari kenyataan kehidupan
98. Yakinlah bahawa setiap kebajikan akan melahirkan kebaikan dan setiap kejahatan akan melahirkan kerosakan
99. Jangan sukses di atas penderitaan orang dan jangan kaya dengan memiskinkan orang.


 ********************************************************************************
MARI  JAGA IMAN ,JAGA AMAL ...Wallahua'alam. 

TeNang (>_<)


I made this widget at MyFlashFetish.com.