BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

2010-01-16

Di sekitar kehangatan Pilihan Raya Kampus

Kementerian tidak halang penuntut kemuka memorandum: Khaled

JOHOR BAHRU: Kementerian Pengajian Tinggi tidak menghalang mana-mana pelajar untuk mengemukakan memorandum bagaimanapun penyerahan itu perlu mematuhi undang-undang dan bersesuaian dengan masa, kata Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

"Saya galakkan pelajar hantar memorandum tapi biarlah masa yang sesuai dan mestilah patuhi undang-undang. Pokoknya sekarang ialah musim pilihan raya kampus, apa sahaja cara digunakan untuk mendapatkan publisiti," katanya.

Beliau yakin semua pelajar bersikap matang dan memahami proses berkenaan.

Mohamed Khaled bercakap kepada pemberita selepas majlis perasmian dan pecah tanah Pusat Teknologi Universiti Teknologi Malaysia (UTM)-Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) fasa II, di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang itu mengulas penahanan dua penuntut dan seorang wartawan sebuah akhbar pembangkang yang menyertai perhimpunan membantah pelaksanaan undi elektronik (e-undi) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di depan Kementerian Pengajian Tinggi, di Putrajaya, semalam.

Laporan menyebut ketiga-tiga mereka ditahan setelah enggan mematuhi arahan polis supaya bersurai dan difahamkan perhimpunan itu antara lain bertujuan menyerahkan memorandum kepada menteri berkenaan.

Dalam ucapannya, Mohamed Khaled berkata hubungan antara ahli akademik dan industri perlu terus ditingkatkan bagi menghasilkan lebih banyak produk berinovatif di negara ini.

Jalinan (kerjasama) antara akademia dan industri katanya, adalah hubungan simbiotik yang bukan sahaja mendatangkan keuntungan menang-menang kepada kedua belah pihak tetapi mampu mendatangkan hasil berganda.

"Mana-mana institusi pengajian tinggi tidak dapat menjauhkan diri daripada aktiviti komersial yang rata-rata dipelopori oleh pihak industri.

"Industri memerlukan universiti untuk menghasilkan produk berinovatif, manakala akademia dalam universiti pula memerlukan dana untuk membantu mereka," katanya sambil memuji usaha penubuhan pusat berkenaan.

Pusat Teknologi UTM-MTDC Fasa II dibangunkan di tapak seluas 0.4 hektar yang mampu menempatkan 25 syarikat berasaskan teknologi khususnya sains hayat.

Ia bakal menempatkan Syarikat Terbitan Universiti yang akan mengkomersialkan hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) UTM di bawah program UTM-MTDC Simbiosis. - Bernama

 ** CABUT DAN TAMPAL DARI :berita harian online.




lain-lain ........

Hancurnya sebuah pilihanraya kampus
Abdul Rahman Abdullah


Sebelum ini, gerakan mahasiswa yang progresif yang diketuai oleh Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) - yang menggabungkan hampir kebanyakan badan mahasiswa yang berusaha untuk menegakkan kebenaran dan keadilan di kampus - telah menghantar memorandum menggesa supaya pilihanraya kampus diadakan secara adil dan bersih.

Dari awal lagi, Badan Bertindak Mahasiswa Negara (BBMB) melihat perkembangan yang cukup menyedihkan hasil daripada memorandum yang dihantar kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), Biro Pengaduan Awam dan akhir sekali kepada menteri yang mengetuai Kaukus Parlimen Bahagian Hak Asasi, Datuk Mohd Nazri Abdul Aziz.

Adakah kita akan melihat satu sinar kembalinya suasana pilihanraya kampus yang bersih dan adil? Jawapannya sudah tentu sinar yang cukup lemah, hanya berlegar pada masa berkempen yang dipanjangkan dan bayaran pendaftaran calon yang dikurangkan. Itupun masih ada yang meneruskan tradisi menindas mahasiswa seperti di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang menaikkan bayaran pendaftaran calon kepada RM100.

Dengan itu, kita boleh membuat satu kesimpulan jelas bahawa menteri dan wakil rakyat kita yang berada di Parlimen, kebanyakannya telah gagal membela nasib masyarakat yang tertindas. Mahasiswa juga adalah anggota masyarakat yang turut mengundi mereka. Sikap lepas tangan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed jelas menonjol sikap sambil lewa beliau dalam memastikan kebajikan mahasiswanya di universiti dititikberatkan.

Kalau macam inilah sikap beliau sebagai seorang menteri, sudah terang dan nyatalah bahawa kita tidak boleh lagi memberi beliau undi dalam pilihanraya umum akan datang. Cuba kita bayangkan universiti yang tidak sebesar manapun tidak dapat dijaga, inikan pula suatu kawasan parlimen.

Mahasiswa benar benar kecewa dan hilang percaya kepada beliau. Di awal pelantikannya sebagai menteri pengajian tinggi, mahasiswa menyangka nasib mereka akan terbela. Naman lama kelamaan, sikapnya yang berat sebelah kepada kumpulan promahasiswa semakin ketara. Dasar ini turut diperturunkan kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar di semua universiti.

Justeru, kita tidak perlu hairan apabila pilihanraya kampus (PRK) bagi tahun ini, yang diharapkan bersih dan adil, telah bertukar menjadi pilihanraya yang paling kotor, berat sebelah dan paling korup. Semua Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar yang merupakan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) PRK, telah memanipulasikan kedudukan mereka untuk memenangkan kumpulan Aspirasi Umno.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Universiti Malaya (UM). Telah termaktub dalam undang-undang pilihanraya kampus sebelum ini bahawa setiap calon perlu mempunyai baki dua semester pengajian. Namun, apabila kumpulan Aspirasi Umno di UM ketandusan calon, maka Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM telah menyatakan bahawa 16 calon Aspirasi Umno yang mempunyai baki satu semester pengajian, boleh bertanding. Ini merupakan satu pencabulan terbesar terhadap undang undang pilihanraya yang dibentuk oleh SPR UM yang diketuai oleh beliau sendiri.

Di Universiti Putra Malaysia (UPM) pula tidak kurang hebatnya pencabulan terhadap sistem pilihanraya kampus. Kumpulan Aspirasi Umno telah menjalankan kempen pilihanraya secara ganas dan samseng - meniru gaya Umno dalam pilihanraya kecil di Ijok sebelum ini. Tindakan ganas dan samseng ini direstui oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar selaku ketua SPR dan juga merangkap ketua jentera Aspirasi sendiri.

Tekanan yan hebat dan berterusan dikenakan terhadap kumpulan promahasiswa, sehingga satu persatu calon promahasiswa, dibatalkan pencalonan mereka daripada bertanding dalam PRK kali ini. SPR dan pengetua kolej di UPM memainkan peranan sebagai pemberi tekanan kepada calon promahasiswa untuk menarik diri.

Sementara Di Universiti Islam Antarabangsa pula menyaksikan satu lagi pencabulan terhadap sistem pilihanraya kampus apabila penamaan calon dibuka semula. Hal ini berlaku ekoran usaha untuk mengelak kumpulan Aspirasi Umno kalah awal. Keadaan yang sama turut berlaku Universiti Kebangsaan Malaysia, di samping sekatan untuk berkempen dengan bebas, kumpulan promahasiswa diancam dengan kumpulan Pemuda Umno yang diimport oleh Aspirasi untuk menganggu kemenangan promahasiswa.

Pembongkaran ini hanya sedikit jika hendak dibandingkan dengan penyelewangan dan penindasan terhadap kumpulan promahasiswa di IPTA. Namun, pembongkaran yang sedikit ini telah memberi gambaran yang jelas terhadap matinya demokrasi kampus sebelum hari pembuangan undi. Demokrasi kampus telah dihancurkan oleh tangan tangan yang telah diberi amanah untuk membawa kecemerlangan di universiti.

Perkara yang lebih malang lagi ialah faktor utama penindasan dan penyelewangan ini berlaku kerana hanya semata mata untuk menjaga survival politik parti yang memerintah. Mahasiswa cukup sedih dan kesal dengan situasi ini, seolah olah tidak ada lagi keadilan di Malaysia dan tiada lagi harapan untuk orang yang hendak menegakkan kebenaran.

Mahasiswa mengeluh dimanakah lagi dapat dicari pertolongan ajaib untuk membersihkan kembali pilihanraya kampus yan sudah mati dan hancur. Hancur luluh hati mahasiswa mengenangkan penindasan ini. Bilakah saat sinar keadilan dan kebenaran kembali bersinar di kampus.

Penulis ialah Timbalan Pengerusi, Badan Bertindak Mahasiswa Negara.


** CABUT DAN TAMPAL DARI :Malaysiakini.com




0 comments:

TeNang (>_<)


I made this widget at MyFlashFetish.com.